Tarbiah Sentap: Teguran buat daei yang merungut?

Tuesday, 24 June 2014

Teguran buat daei yang merungut?


Bismillah. Selawat dan salam ke atas Arrasul saw. Saya merayu dan meminta perlindungan pada Allah dari kata-kata yang saya sendiri tak amal. Dan saya harap, kata-kata saya ini, memberi kesan terutamanya pada diri saya sendiri, dan umumnya kepada semua, semua yang telahpun bertekad untuk menjadi pendakwah, dan ingin hidup mati dengan islam.

Mungkin penulisan kali ini berbentu teguran. Teguran yang saya ingin utarakan kepada semua para daei. Ya, mungkin sebab kita rasa terlalu selesa dengan gelaran “daei”, terlalu selesa berada di dalam kapal dakwah ini, sehingga kita lupa, apakah dakwah yang kita lakukan ini Allah redha atau Allah murka.

Saya ulang:

“kita rasa terlalu selesa dengan gelaran “daei”, terlalu selesa berada di dalam kapal dakwah ini, sehingga kita lupa, apakah dakwah yang kita lakukan ini Allah redha atau Allah murka…”

Kita jangan ingat, bila kita dah gabungkan diri dengan Jemaah dakwah, kita dah terlepas dari neraka. Kita jangan ingat, bila kita dah mengatakan bahawa “Aku nak ikut dakwah tarbiah”, bererti kita ni malaikat dan bebas dari sebarang kesalahan dan tak boleh menerima teguran. Apa gunanya kita gabungkan diri dengan Jemaah dakwah, tetapi kita ni langsung tak berkorban untuk dakwah, bahkan MERUNGUT apabila di suruh melakukan pengorbanan?!(baca:Gabungkan diri dengan jemaah dakwah adalah wajib. Baca di SINI).

Tepuk dada, tanya diri sendiri. Imbau semula kisah-kisah silam kita selama kita berada dalam dakwah dan tarbiah, dari awal hingga ke hari ini, kemudian menangislah. Mungkin, kita rasa amal dan pengorbanan kita untuk agama ni banyak, tapi rupanya-rupanya, itu hanyalah ghurur, ujub dan perasan. Amal kita hanyalah sedikit, namun kita sering mengharapkan hasil yang berbukit, apabila di suruh melakukan pengorbanan yang lebih, kau sering merungut dan mengungkit-ungkit!


HAKIKAT UMAT

Saya yakin, semua sedar. Semua sedar dan faham, betapa umat hari ni sedang berada di tahap kritikal. Umat dalam keadaan nazak dan tenat. Umat islam sendiri, hancur lebur, gugur dan bagaikan bangkai yang langsung tak memberi manfaat. Orang islam sendiri benci dan menghina islam, meluat dengan islam, malu dengan islam, abaikan islam, menentang islam dan menghancurkan islam. Zina, arak, rasuah dan riba, mencuri, merompak, membunuh, buang anak, meninggalkan solat dan puasa, menonton video lucah, mengangungkan artis kafir dan berhibur dengannya, menganggap dosa kecil itu tiada apa dan lain-lain!

Umat islam sendiri yang membackup ideologi-ideologi menyeleweng seperti LIBERAL, sekular, syiah, dan lain-lain. Umat islam hari ni lebih mengagungkan ilmuan dan falsafah barat, berbanding ulama’ islam yang mursyid. Pemahaman umat islam makin lama makin menyeleweng, jahil atas jahil(Jahil yang merasakan mereka benar sedangkan mereka jahil, dan mempertahankan kejahilan sendiri). Bahkan bukan itu sahaja, yang ada kesedaran dakwah dan tarbiah pun, masih bertengkar, bergaduh mulut, berdebat tak berkesudahan, tidak berusaha mencari titik persepakatan dan ukhwah, mendahulukan buruk sangka dan dendam kesumat serta dengki yang tak berkesudahan. Juga ada yang baik sendirian, menangis sendirian, tapi langsung tak membantu umat, hanya fikir diri sendiri!

Adakah kita menangis melihat hal ini?

Lebih menyedihkan, umat islam bukan sahaja di asak dari dalam, bahkan, orang kafir hari ini, makin menjadi-jadi menjatuhkan islam, mereka sentiasa merancang dan terus-meneruskan mencabar kedaulatan islam di Malaysia khususnya dan di seluruh dunia amnya. Menghina hudud, mencabar perlembagaan, memaksa kerajaan untuk menerima kebebasan murtad, ingin menggunakan kalimah Allah di dalam bible untuk tujuan kristianisasi, mengagungkan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transexual dan memaksa umat islam untuk merasakan ianya normal atas nama HAK ASASI, dan pelbagai lagi. Lebih teruk dari itu, ada umat islam yang mempertahankan mereka atas alasan-alasan yang cukup dangkal dan melanggari syarak.

Apakah kita masih lagi boleh tenang?

HAKIKAT DIRIMU, WAHAI DAEI!

Dalam keadaan umat yang sebegini merana, kita, sebagai seorang yang Allah telah kurniakan kesedaran untuk melakukan dakwah dan tarbiah, kita yang Allah telah beri hidayah untuk meninggalkan Jahiliah-jahiliah, kita, kita, kita hari ini langsung tak menghargai segala hidayah dan kesedaran yang Allah telah bagi! Apa ini? Apakah dosa yang lebih memalukan dari mengkufuri nikmat?!

Muhasabahlah dirimu wahai daei! Muhasabahlah! Saya akan gunakan perkataan "kau". Kau tu merujuk kepada diri kita, termasuk saya saya menulis.

1)Adakah kau masih lagi boleh tengok wayang, tengok movie dan drama yang di dalamnya penuh dengan pendedahan aurat dan unsur-unsur yang Allah murka, dengar lagu-lagu yang ada unsur-unsur kemurkaan Allah, sedangkan umat sedang tenat sebegini? Apa alasan yang kau nak bagi?

“Jangan syadid sangat. Tengok movie bukan salahpun. Bukan naik syahwatpun tengok aurat dan pelakon cantik dan seksi tu. Tengok just untuk hiburan je. Jangan terlalu keras sangat…Asalkan aku tak lalai…”

Saya jawab:

“Ya Allah, ya Allah! Aku yang syadid atau kau yang terlalu longgar? Sehingga merasakan dosa itu bukan dosa, menghalalkan yang haram atas alasan yang cukup memalukan bagi seorang yang kononya faham dakwah? Apa ni, apa ni?! Asalkan kau tak lalai? Sejak bila Allah kata boleh buat benda haram asalkan tak lalai? Dalil mana kau guna? Dalil Allah dan Rasul atau dalil nafsu dan syaitan??

2)Adakah kau masih boleh bermalas-malas membaca bahan-bahan usrah?Setiap kali usrah, tak baca bahan, tak prepare. Sekali dua tiada masalah, tapi dah berapa puluh kali dah kau ulang perkara yang sama? Apa alasan nak bagi? Sibuk? Tiada masa? Ayat buku tu tinggi sangat? Orang beriman, takkan beri alasan dalam melakukan amal!

Lepas tu, mendabik dada kononya kau faham fikrah, kau hebat bab agama, dan menyalahkan orang lain tanpa ilmu, debat kosong yang tidak di dasari oleh disiplin ilmu tetapi hanya dengan nafsu dan kepala otak semata. Apakah ini?Apakah ini?

Buku sirah apa yang kau dah habis baca? “Raheeq Makhtum” dah baca? ”Fiqh sirah” dah baca? Ulama’ dah tulis penat-penat, kau, nak baca pun penat. Apakah ini? Belum masuk bab buku-buku fikrah dan dakwah. Buku Mustafa mahsyur dah baca? Buku tulisan Albanna khususnya “Majmuat Rasail” dah baca? Buku Fathi yakan apa yang kau dah habis baca? Buku Abu A’la Almaududi, buku-buku Syed Qutb, Ahmad Arrasyid, dan lain-lain, berapa banyak yang kau dah baca dan hadam? Ataupun, APAKAH USAHA kau untuknya??!

Apakah ini tanda kau syukur nikmat kesedaran, nikmat hidayah dan nikmat tarbiah yang Allah dah beri pada kau?

3)Sejauh mana pengorbanan kau untuk dakwah? Atau kau rasa kau berkorban, tapi check-check balik, pengorbanan kau sangat sedikit. Berapa banyak kali kau jumpa mad’u kau? Berapa ringgit yang kau dah korbankan untuk dakwah? Berapa banyak masa kau korbankan untuk dakwah?Atau banyak buang masa?(sayalah tu!!)

Sering merungut untuk korbankan duit untuk kebaikan dakwah, sedangkan kau mampu. Yang tak mampu, boleh di pertimbangkan lagi. Bukan takat itu, bagi ceramahpun mengharapkan upah, pergi program jauh-jauhpun, still merungut dengan duit minyak , buat program pun, bergantung pada duit yuran peserta, lantas, baki duit tersebut, di bahagi-bahagikan kepada diri kau, kononya sebagai upah. Mintak keluar duit lebih sikit, merungut, benci, menyampah dan lain-lain. Bukan nak kata salah 100%. Tapi, muhasabahlah kembali.

Memang benar, ada yang tak mampu sumbang dari sudut kewangan dan harta. Tapi hakikatnya, semua mampu menyumbang. Cuma perbezaannya ialah, ada yang mampu korbankan sedikit kerana kurang kemampuan, dan ada yang mampu menyumbang banyak. Dan, banyak dan sikit bukanlah ukuran! Ukurannya adalah sejauh mana kita IKHLAS dan tak merungut serta bukan terpaksa. Korbankan duit dengan rela hati, dengan mengharapkan pembalasan dari Allah! Boleh jadi, Allah lebih meredhai yang sedikit berbanding yang banyak!

Belum sentuh dari sudut kesungguhan datang meeting. Tak datang dengan selamba tanpa alasan. Kalau ada alasan yang munasabah, okaylah jugak. Ini tidak, pelepasan kita dari meeting adalah kerana nak memenuhi tuntutan nasfu, merehatkan badan, berhibur dengan game dan movie, serta pelbagai lagi perkara yang cukup memalukan.

4)Sejauh mana hubungan kau dengan Allah? Amal Fardi kau? Qiamullail kau dah berapa banyak kali tinggal dengan selamba dan tak rasa sedikitpun kekesalan, penyesalan dan kegelisahan. Berapa banyak kali kau sebut nama mad’u kau dalam doa? Kau ingat, hidayah tu atas usaha kau ke? Tahu tak kau, Allah yang beri hidayah, bukan kau! Kalau kau tahu, kenapa kau tak doa pada Allah?

Pernah tak kau menangis teresak-esak fikirkan mad’u kau? Pernah tak kau tak sedap badan, tak selera makan, memikirkan mad’u kau yang makin lama makin lari dari tarbiah? Pernah tak? Selalu tak?

Belum sentuh bab quran dan zikir. Berapa muka baca sehari?Zikir pagi petang apa cerita? Solat Jemaah LIMA WAKTU di masjid/surau apa kabar? Apakah kau jaga atau buat sambil lewa, tinggalkan tanpa rasa bersalah apa? Atau, kau masih tak selesai isu Jahiliah? Masih ikhtilat, melihat video yang tak senonoh di youtube, bercinta dan sebagainya?

Ingat, ingat:

“Hati yang mati, takkan mampu menghidupkan hati yang lain. Hanya lilin yang hidup mampu menghidupkan lilin-lilin yang lain. Hanya hati yang hidup, mampu menghidupkan hati umat yang mati!”

PEDOMAN DARI KISAH-KISAH LAGENDA DAKWAH

Sepatutnya, kita mahu tak mahu, perlu ada perasaan mahu berlumba-lumba untuk berkorban. Seperti mana sahabat  Arrasul. Mereka sangat-sangat tunjukkan pengorbanan yang tiada tara untuk dakwah yang suci murni ini. Lagi tinggi pengorbanan, lagi tinggilah hidayah Allah akan tersebar untuk diri dan umat!

والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا
“Dan mereka-mereka yang bersusah-paya di jalan kami, akan kami tunjukkan(beri hidayah kepada mereka) pada jalan-jalan kami!”

****

 1)KISAH SAHABAT MISKIN KETIKA PERANG TABUK

Teringat ketika perang tabuk, ketika seruan nabi kepada sahabat-sahabat untuk mengorbankan harta mereka di jalan Allah, kelihatan seorang lelaki tua dan miskin, menangis teresak-esak. Bila arrasul tanya padanya:

“Kenapa kau menangis?”

Lalu sahabat tersebut menjawab:

“Aku menangis kerana aku sedih bila aku tak mampu menginfakkan hartaku ke jalan Allah seperti sahabat-sahabat lain, lantaran kemiskinanku. Yang aku ada hanyalah sebiji tamar yang kering!”

Lalu, nabi mengambil tamar tersebut dan meletakkannya di tempat timbunan harta, di bahagian atas sekali!

****



2)KISAH SEORANG AHLI IKHWAN MUSLIMIN DI MESIR

Ada seorang ikhwah, seorang yang agak tak berkemampuan dari sudut harta. Bahkan, kenderaan yang dia ada hanyalah sebuah basikal buruk. Dengan basikal itulah dia gunakan semaksimum mungkin menghadiri usrah, katibah, meeting-meeting dakwah dan sebagainya, yang terletak sangat jauh dari rumahnya.

Namun, satu hari, pimpinan ikhwan menyuruh para ahlinya untuk mengorbankan duit-duit mereka untuk dakwah.

Selepas dari itu, ikhwah tersebut sering datang lewat usrah, katibah dan meeting. Dan setiap kali dia datang, mesti matanya lesu, nafasnya termengah-mengah, berpeluh dan kelihatan penat dan tak bermaya. Bila di tanya kenapa lambat datang, dia tidak memberi apa-apa alasan, dan meminta-maaf atas keterlambatan.

Setelah berkali-kali perkara itu berlaku, akhirnya seorang ikhwah bertanya kepadanya tentang apa masalah yang berlaku sehingga setiap kali usrah, meeting dan sebagainya, dia selalu datang lambat. Pada awalnya, dia tidak menjawab, tetapi apabila di tanya berkali-kali, barulah dia menjawab:

“Dahulu, aku datang ke usrah dan sebagainya dengan menaiki basikal burukku. Aku gerak awal kerana tempatnya agak jauh dari rumahku. Namun, setelah datang seruan untuk mengorbankan harta dan isytirakat untuk dakwah, aku tiada duit untuk di korbankan. Apa yang aku ada adalah basikalku ini. Lantas, aku pun menjual basikalku, dan gunakn hasil duit itu untuk di infaqkan kepada jemaah dan dakwah…..”

Menangis ikhwah itu apabila mendengar kisahnya. Lantas, ikhwah tersebut bersama-ikhwah-ikhwah lain telah menghadiahkan untuknya sebuah kereta, sebagai penghargaan dari sebuah pengorbanan yang agung ini!

*****


3)PEDOMAN JEMAAH TABLIGH

Saya pernah mengikuti Jemaah tabligh. Saya terfikir, mengapa ijtimak yang mereka lakukan di hadiri seramai 200,00, tanpa sebarang iklan di tv, surat khabar, dan media massa yang lain. Makanan untuk 200,00 itu free, ada orang yang masakkan, khidmat teksi bagi mereka yang tiada kenderaan, dan lain-lain. Bahkan, tiada sebarang yuran di kenakan untuk mereka-mereka yang hadir. Apakah rahsianya?

Bayangkan, jemaah tabligh mewajibkan semua para pendokongnya untuk melakukan mesyuarat dakwah SETIAP HARI di setiap kawasan rumah masing-masing. Kemudian, SETIAP MINGGU, setiap zon seperti zon Shah Alam utara, Shah Alam selatan, zon Klang, dan setiap zon-zon di setiap negeri akan berkumpul dan mengadakan mesyuarat bagi melaporkan HASIL dakwah mereka di setiap tempat masing-masing! Kemudian, SETIAP BULAN, akan di adakan mesyuarat bulanan, setiap negeri memberi laporan dan perkembangan amal dakwah di negeri masing-masing kepada MARKAZ PUSAT iaitu di Sri Petaling. Dan Mesyuarat tahunan pula, melibatkan seluruh dunia, memberi laporan tahunan kepada pimpinan tabligh sedunia di Markaz Nizamuddin, india, mendengar laporan dari wakil-wakil syura setiap Negara!

Ini baru dari sudut melakukan meeting. Dari sudut pengumpulan tarbiah, jika kita, usrah setiap minggu sekali pun ada yang datang, ada yang tak datang, mereka melakukan majlis ta’lim bacaan hadis nabi setiap hari, di masjid dan di rumah! Setiap hari!

Dari sudut dakwah pula, mereka peruntukkan masa, setiap hari sekurang-kurangnya 2 jam sentengah untuk pergi rumah ke rumah, dakwah dan pujuk rayu umat. Belum di tambah dengan program mingguan mereka iaitu “gash”(ziarah rumah ke rumah dua minggu sekali).

Kalau kita, katibah hanya sekali sebulan, itupun ada yang merungut dan tak datang. Tabligh pula, setiap MINGGU ada katibah mereka yang di namakan malam markaz. Bermula dari selepas asar, sehingga pukul 8 pagi esoknya. Belum lagi cerita bagaimana mereka keluar 3 hari, 40 hari, 4 bulan ke Negara-negara jiran, Negara jauh, atau dalam Negara. Paling kurang nak keluar 40 hari, kena ada RM500. Kalau 4 bulan? Belum Negara jauh dan sebagainya.

Tapi mereka jarang merungut. Mereka rasa, lagi banyak mereka berkorban, hidup mereka lagi puas.

*****

Moga dengan tiga kisah di atas, dapat menjadi pembakar semangat kita untuk kembali muhasabah diri. Sejauh manakah pengorbanan kita untuk menegakkan agama Allah yang suci murni ini?

PENUTUP

Mungkin, ada yang akan marah bila saya utarakan persoalan-persoalan di atas. Dan mungkin saya sendiri tak serupa bikin dengan apa yang saya cakap. Lantaran itu, saya mengaku, saya sendiri mempunyai 1001 kelemahan dan aib saya yang saya sendiri rasa malu untuk ceritakan. Tetapi itulah, penulisan ini khusus untuk diri saya, umum untuk sesiapa sahaja yang mahu ambil pengajaran.

Kembali muhasabah diri. Kita dah lama sangat lena, di kala umat tengah tenat. Hidupkanlah budaya tegur-menegur sesama kita, agar bila kita lalai, kita mampu kembali sedar dan berubah. Jangan biarkan kawan kita berterusan dengan kelalaian, berterusan dengan rungutan, dan yang sama waktu dengannya.

Moga, dengan pengorbanan kita yang sedikit ini, Allah balas dengan syurga.

Allah, Allah sangat baik. Allah sangat pemurah. Pengorbanan kita yang sedikit, Allah tetap hargai dan merasa bangga dengan kita andai kita ikhlas. Itulah Allah, tuhan yang sentiasan menghargai kita, tuhan yang MAHA PEMURAH. Namun, adakah kita ini menghargai Allah?

Wallahua'lam


-Adnin Roslan-



4 comments:

Mohd Nor Adzim Shaari said...

Terima kasih atas teguran yg 'direct' dan jujur ini.

akhmadeena said...

Spot on. Barakallahufika.

it's me! :) said...

Mad'u tu apa?

adilah syakirah binti soppy said...

org yang didakwah,,