Tarbiah Sentap

Saturday, 20 August 2016

Kenapa aku HIDUP?





Dulu saya anak tunggal (sampai sekarang pun), ayah kandung saya dah bercerai dengan ibu, dan saya tinggal dengan arwah ayah tiri saya masa tu di kawasan bandar. Masa tu saya sekolah rendah. Ibu saya kerja kilang, balik pukul 9.30 malam, arwah ayah tiri saya pula kerja security guard, pergi pukul 12.00 tengah hari balik 12.00 malam.

Selalunya dalam pukul 8.00 malam, saya akan tinggal sendirian di rumah. Kalau saya lapar, saya hanya makan apa yang ibu masak masa tengah hari tu, atau kalau ada duit sikit, saya  akan makan di kedai makan. Nak dipendekkan cerita, satu hari saya lapar gila sebab makanan takde kat rumah. Saya selongkar peti ais, yang ada cuma telur ayam dan daging mentah. Nak masak tak reti, nanti terbakar dapur.

Arghh !! 

Ini semua alasan je, padahal malas nak memasak. Suka sangat bagi alasan semata-mata nak membenarkan kesalahan (tiba-tiba emo). Makanan di dapur habis sebab saya dah bedal[1] masa tengah hari, yang akhirnya malam saya lapar. Padan muka aku. Jadi disebabkan saya lapar sangat, saya pun keluar pergi kedai makan untuk makan. Eh, sebenarnya saya bukan nak cerita pasal ni, saya nak cerita pasal lain. Huhu..

Dipendekkan cerita, masa saya tengah tunggu order roti canai, tiba-tiba saya ternampak ada satu keluarga tengah makan bersama. Yang saya perhatikan, dalam keluarga tu ada ayah, emak, kakak, abang dan adik-adik. Semuanya dalam sekitar 6 orang dalam satu keluarga. Saya tengok mereka semua gembira makan bersama, malah bergurau mesra sekali.

Tanpa saya sedar, air mata saya mengalir. Sampaikan abang yang bawa roti canai kosong pada saya tu pelik tengok saya menangis tiba-tiba, mungkin dia ingat roti lambat sampai ke apa. Tapi memang lambat sampai pun. Masa saya dalam perjalanan balik ke rumah, saya menangis sendiri sambil pandang ke langit. Masa tu saya mula pertikaikan Tuhan,

“Kenapa Allah tak adil, kenapa Allah tak bagi aku adik beradik? Kenapa Allah tak bagi aku ayah kandung? Kenapa Allah tak bagi aku hidup senang? Kenapa Allah tak bagi aku masuk sekolah asrama? Kenapa Allah tak bagi aku pandai macam orang lain yang selalu dapat nombor 1?”

 Saya terus menangis sampai saya terfikir,

“Kenapa Allah buat aku macam ni? Kenapa Allah bagi aku ujian macam ni? Kenapa Allah tak tolong aku pun? Apa tujuan aku hidup sebenarnya? Kenapa aku jadi manusia? Lebih baik aku jadi kucing je, selalu kena belai!” (ok ini tambahan je).

“Apa tujuan aku hidup sebenarnya? Apa yang aku nak dalam hidup ni sebenarnya?”

Pernah kau fikir sebegini? Atau kau sebenarnya tak pernah terfikir pun tujuan hidup ni untuk apa? Biasanya kita akan fikir macam ini bila sedang berhadapan dengan banyak masalah dan krisis sehingga kita rasakan ini masalah yang paling berat tahap kritikal dalam hidup.

Soalan macam ni ramai orang tanya dalam email atau inbox Tarbiah Sentap terutama bila dalam keadaan tertekan (kebanyakkan tanya sebab lepas gagal exam atau baru putus cinta). Masa tu bukan hanya tanya tujuan hidup, malah dipertikaikan kenapa Allah tak tolong itu dan ini, kenapa Allah biarkan perkara ini dan itu berlaku.

Tetapi kalau tengah berseronok-ronok, berhibur sana sini sampai lupa Allah, biasanya orang tak akan pernah terfikir apa tujuan hidup. Sebab masa itu kau hanya fikir,

“Hidup hanya sekali, masa muda pun sekali, so kita enjoyyyy!”

Kau dah kenapa...?

Cari Falsafah Dan Tujuan Hidup

Saya jumpa tujuan hidup bukan dalam sehari dua, bahkan makan masa bertahun. Bertahun-tahun saya hidup tanpa saya tahu tujuan hidup. Malah saya baru sedar tujuan hidup masa saya belajar di universiti. Tu pun syukur masuk U, kalau tak, entah ke laut agaknya.

Persoalannya, kenapa nak beriya-iya sangat untuk tahu tujuan hidup? Apa yang bagus sangat kalau tahu tujuan hidup? Dapat duit ke? Harga barang boleh turun ke? Minyak boleh turun ke? GST boleh hilang ke? (ayat orang materialistik) Kalau kita terus hidup je tanpa tahu tujuan hidup tak boleh ke?

Mudahnya begini, kau tahu kipas angin atas meja yang ada jenama Khind, dan sebagainya tuh kan? Ok, kita tahu apa tujuan kipas angin tu direka oleh manusia kan? Macam mana kita tahu? Kita tahu sebab kita baca manual pada kipas angin tu, lalu kita gunakan kipas angin tu macam biasa.


Tetapi cuba kau bayangkan, kipas angin tu kau guna sebagai pengadun tepung dan telur yang nak buat kek tu. Boleh berfungsi tak? Ataupun kau gunakan kipas angin tu untuk jadi enjin motorboat. Ha, atas bot tu kelam kabut cari suis plug.

Agak-agak, apa berlaku pada kipas tu? Mestilah tak dapat berfungsi lama, atau cepat rosak. Sebab apa? Sebab dia digunakan BUKAN sebagai fungsi asal dia. Sepatutnya fungsi kipas direka adalah untuk sejukkan badan, bukan adun kek atau jadi enjin motorboat. So, untuk memastikan kipas tu boleh bertahan lama dan berfungsi dengan baik, kau mesti guna kipas tu sama macam fungsi dia dibuat.

Korang nampak tak apa saya nak cakap? Berhuhu la aku sampai esok.

Ok la, saya bagi contoh realiti semasa. Saya tak tahu sama ada kau yang baca ini adalah pelajar sekolah, mahasiswa/i, atau orang dah bekerja. Tapi cuba kau bayangkan, kau sekolah seawal sekolah rendah selama 6 tahun. Kemudian sambung sekolah menengah selama 5 tahun. Lepas tu ada rezeki sambung Matrikulasi atau STAM selama 1 tahun, atau sambung STPM selama 2 tahun, ataupun sambung diploma selama 3 tahun.

Kemudian ada rezeki lagi, kau berjaya masuk universiti, kalau nak sambung degree. Belajar di universiti, at least 3 atau 4 tahun biasanya kecuali medik. Ok la kita ambil angka 4 tahun. Lepas habis universiti, kau pun dapat kerja. Itupun nasib kalau kau tak “tanam anggur” bertahun-tahun tunggu kerja turun dari “syurga”.

 Lalu kau pun bekerja dengan gaji yang ikut suka hati nak letak berapa. Dah 2,3 tahun kerja, kau pun berkahwin, lalu dapat anak. Kau teruskan bekerja untuk bayar rumah, kereta, api air dan sebagainya. Itu belum lagi nak bayar tanggungan anak lagi. Pejam celik pejam celik, dah umur 55 tahun. Masa untuk pencen.

Bila dah pencen, kau pun tunggulah anak-anak berbakti pada kau, bagi duit bulan-bulan berserta dapat duit pencen, kalau ada la. Dan itu pun kalau dapat anak yang jenis kenang jasa. Kalau dapat anak yang macam hampagas, memang tak ke mana lah jawabnya. Moga dijauhkan. Moga Allah kurniakan kita anak-anak yang soleh dan solehah.

Ha, tak habis lagi cerita ni. Setelah bertahun-tahun mereput di rumah tanpa berkerja, kau pun dah umur 65. Kalau kau jenis malas membaca dan berfikir, maka cepatlah nyanyuk. Kalau rajin berfikir sikit, mungkin lambat sikit nyanyuk, atau tak nyanyuk. Lalu tinggal beberapa tahun lagi, kau pun akhirnya mereput jadi mayat, lalu diusung ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Maka tamatlah riwayat hidup kau di dunia dan bersedialah masuk ke salah satu taman-taman Syurga atau salah satu dari lembah-lembah di Neraka semasa di kubur. Kemudian anak-anak serta generasi kau pun buat kitaran yang sama seumur hidup mereka, sampailah mereput jadi mayat dan masuk kubur.

Persoalannya, adakah Allah cipta kita hanya untuk itu? Hanya untuk itu saja? Itu saja? Saya tertarik dengan kata-kata Hamka antaranya,

“Kalau hidup untuk kerja dan makan, maka kera di hutan pun kerja dan makan juga.”

Jadi apa bezanya kita dengan kera, babun, lintah, orang utan, nyamuk Aedes, ikan majlis perbandaran dan sebagainya? Bukan ke Allah dah beritahu dalam surah at Tin, kita ni adalah sebaik-baik ciptaan?

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”
 (Surah At Tin 95:4)

Kalau kau masih tak faham apa saya tulis panjang-panjang ni, silalah terjun tingkap. Hehe. Takdelah, silalah baca sekali lagi sampai faham. Kalau kau dah boleh bayangkan, faham dan berfikir apa yang saya nak sampaikan ni, sepatutnya kau dah mula berfikir,

“A’ah la. Aku hidup ni untuk apa? Kenapa Allah hidupkan aku?”

Kalau kau masih tak mampu berfikir macam ni, maksudnya punchline saya tak sampai. Perghh, hambar. Kau kena ingat yang Allah ciptakan kita ni bukan untuk main-main atau suka-suki je. Serius. Barbie Doll yang ada di supermarket tu pun, direka bukan suka-suka, melainkan untuk bisnes dan perkara lain.

Itu Barbie Doll, ni apatah lagi kita manusia yang cukup sifat, ada akal dan nafsu, boleh berfikir, boleh belajar, kerja dan sebagainya. Walaupun kita bukan malaikat, tetapi Allah ciptakan kita bukan suka-suka je.

“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) hanya untuk bermain-main? Dan kamu (menyangka pula) kepada Kami tidak akan dikembalikan?”
 (Surah Al-Mu’minun 23:115)

“Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.”
 (Surah Al-Anbiya’ 21:19)

Jadi kalaulah Allah ciptakan hatta langit dan bumi bukan secara main-main, apatah pula kita manusia yang ada akal dan hati. Mesti ada sebab lagi serius kenapa Allah ciptakan kau. Kau hidup bukan untuk makan, minum, pergi tandas, potong kuku, belajar, kerja, kahwin, dapat anak, pencen, lepas tu mati. Tapir kat Zoo Taiping pun boleh buat. Jadi kau hidup untuk apa?

Kalau nak tahu tujuan hidup kita, kita kena tengok dulu FALSAFAH kenapa Allah ciptakan manusia. Persoalannya, apa falsafahnya? Aduh, dah macam masuk kelas sastera la pula. Jangan pening, saya buat ia ringkas dan mudah faham. Supaya saya dan kau tak pening, dan akhirnya kita bergembira sambil makan pop corn.

Falsafah Allah ciptakan manusia hanyalah satu saja, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara TOTAL kepada Allah. Maksudnya, Allah nak kita menyembahnya secara total tanpa mensyirikkanNya dengan sesuatu perkara. Dan Allah nak kita TAAT kepada Allah secara total tanpa melanggar perintahNya.

Apa tujuan ganjaran disebalik kita sembah dan taat secara total kepada Allah? Ganjarannya adalah REDHA ALLAH kepada manusia dan SYURGA. Ini adalah ganjaran maha besar kepada sesiapa yang melakukan ketaatan secara total kepada Allah. Tetapi, apa yang kita kena buat untuk dapat redha Allah dan Syurga ini?

Haa, macam mana nak buat adalah, kau kena ikut manual yang Allah dah turunkan kepada seluruh manusia, iaitu al Quran. Allah sebut dalam Al Quran,

“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepada Ku.”
 (Surah Adz-Dzariyat 51:56)

Dalam al Quran, manual rujukan hidup yang sepatutnya kita baca hari-hari, Allah dah beritahu yang Allah ciptakan kita untuk beribadah atau mengabdikan diri kepada Allah. Kena taat perintah Allah, jauhi larangan Allah. Ibadah ini bukan hanya solat semata-mata, bahkan makan, minum, tidur, kerja, study fizik kimia bio syariah ekonomi sastera semua itu boleh jadi satu ibadah. Jangan sempitkan perkataan “ibadah” hanya solat, puasa, zakat dan haji saja.

Islam ni adalah cara hidup kita, maksudnya setiap perkara yang kita buat kerana Allah, jadilah ia ibadah hatta masuk dalam jamban dan minum air mineral sekalipun. Sebab tu masuk jamban kena baca doa.

Tetapi, ibadah saja tak cukup. Kalau hidup untuk ibadah saja, Jin pun diciptakan untuk beribadah juga. Kalau macam tu, apa beza kita dengan Jin ifrit, Jin mata toncet, Jin yang jual seluar dan sebagainya. Jin ini makhluk ghaib yang Allah dah ceritakan secara detail dalam surah Al Jin. Kau buka dan baca terjemahan. Kalau rajin, baca tafsirnya sekali. Jadi apa beza kita dengan Jin? Bezanya adalah pada satu ayat di surah al Baqarah,

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan untuk bumi itu khalifah..”
 (Surah Al-Baqarah 2:30)

Pemimpin atau khalifah ini bukan semata-mata ada jawatan di sekolah, universiti, tempat kerja ataupun negara sekalipun, malah pemimpin paling biasa adalah kita pimpin diri sendiri, iaitu pimpin nafsu kita supaya taat kepada Allah dan jauhi larangan Allah. Pemimpin tak semestinya berjawatan. Pemimpin yang paling besar adalah kita tadbir dunia ni dengan Islam, seperti kata imam almawardi yang sangat mahsyur:

حراسة الدين وسياسة الدنيا به
 "Mendirikan agama (Islam) dengan kukuh, dan mentadbir dunia dengan petunjuk agama (Islam)"

Ok jelas? Jadi inilah tujuan hidup kita bagi mencapai falsafah awal tadi, iaitu penyerahan, penyembahan dan ketaatan secara total kepada Allah.

Kenapa Hati Tak Tenang?

Jadi bila dah tahu tujuan hidup, apa signifikannya pula? Maksudnya, apa yang kita dapat kalau kita tahu tujuan hidup ni?

Sebenarnya, bila dah tahu, faham, hayati dan praktikkan tujuan hidup kita sebagai manusia dan Muslim, SEPATUTNYA kau automatik akan tahu di mana untuk cari ketenangan saat hati kau rasa tertekan, jiwa kau rasa stress tahap kritikal dan sebagainya. Sebab kita faham hakikat tujuan hidup ni, bukan kosong kosong kosong.

Hari ini ramai orang cari ketenangan daripada hiburan haram seperti pergi disko, konsert yang ada unsur haram dan sebagainya. Kalau anak muda, ramai yang melayan lagu-lagu dan movie macam Kpop, Running Man, Big Bang,Exo, Girl’s Generation, Katy Perry, One Direction, Justin Bibir, Hindustan, drama Melayu India Pakistan Bangla dan segala bagai.

“Eleh, cakap je la kau anti Korea.”

Laa, saya tak anti Korea pun. Sebenarnya bukan Korea Jepun je, termasuklah drama, movie atau lagu-lagu Bangla, Somalia Timur Laut, Afrika Barat Daya, dan segala bagai. Malah ada juga cari ketenangan dengan main game sampai 10 pagi, tengok bola sampai terlajak subuh, window shopping sampai tak solat zohor atau asar, makan sampai 24 pinggan setiap satu jam. Padu beb...

Kau mungkin bahagia dan tenang bila buat semua tu. Tetapi kau tak boleh tipu diri sendiri yang ketenangan dan bahagia kau jumpa tu hanya sementara saja. Sebab apa yang selalu berlaku adalah kau mencari-cari sesuatu untuk terus menenangkan jiwa dan mengisi hati kau sepenuhnya.

Bila kau faham tujuan hidup untuk beribadah kepada Allah, by default sepatutnya kau akan sedar bahawa mahu tak mahu kau memang kena kembali kepada agama, iaitu kembali pada Allah. Kembali pada Allah ni bukan maksudnya kena mati.

Tetapi dengan cara mendekatkan diri kepada Allah. Antaranya kau iktikaf di masjid atau di bilik untuk perempuan, kemudian solat dan doa sambil menangis-nangis merayu pada Allah. Menangis-nangis, bukan doa ala kadar je. Ataupun kau baca Al Quran sambil menghayati terjemahannya sambil menangis! Rasulullah sebut,

“Apabila kamu membacanya (al Quran), maka menangislah.”
 (Riwayat Ibnu Majah)

 Serius, saya tak tipu kau.

Sebab Allah yang pemilik hati dan emosi kau, bukan diri kau. Kau sendiri tak mampu kawal emosi dan perasaan kau, apatah lagi bab hati. Tetapi Allah yang mampu buat segalanya. Bersolat, doa sampai menangis-nangis dan bacalah al Quran sambil hayati maksudnya, insyaAllah kau akan jumpa ketenangan.

Tetapi..

Memang pada awalnya kebanyakkan orang takkan rasa apa-apa sangat bila baca al Quran dan terjemahan, ataupun susah sangat nak berdoa sampai menangis-nangis. Apatah lagi nak gagahkan diri untuk iktikaf dikat surau atau bilik seorang diri untuk yang perempuan. Tenang tu jauh sekali. Bahkan mungkin boleh jemu dan bosan.

Hati ini macam cawan kosong. Kalau kau isi dengan air kopi o, maka cawan tu akan nampak hitam pekat. Bila kau hanya letak setitis dua air mineral, ia takkan mengubah warna air kopi O itu. Cara nak ubah warna air kopi o tu hanyalah dengan kau tuang air mineral banyak-banyak, sampai melimpah ruah keluar air kopi o tu. Sampai satu masa, cawan tu akan jadi jernih semula sebab penuh dengan air mineral.

Macam tu dengan hati. Mula-mula kena paksa buat semua ni. Ikhlas tak ikhlas benda kedua. Nanti saya cerita bab ikhlas ni. Hati yang jarang merasai kenikmatan dengan iktikaf, solat, berdoa merayu pada Allah atau mendengar dan membaca Al Quran, lambat laun kau akan rasa ketenangan kalau dibuat dengan berterusan. Sebab tu antara amal yang paling afdhol adalah meninggalkan maksiat.

Kau ketahuilah, ketenangan itu adalah pabila kita mengingati Dia. Ini janji Allah, bukan janji hanya tinggal janji, atau janji yang dicapati. Ini janji Allah.

“..orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang."

( surah Ar-Ra'd 13:28 )

Semoga kau dapat tahu tujuan hidup, dan dapat cari ketenangan. Doa saya buat kau semua. 
               
Wallahu’alam

-Shukery Azizan-


Thursday, 11 August 2016

CADANGAN UNTUK INDUSTRI HIBURAN MALAYSIA


Bismillah.

Insyallah, pada kali ini, kami ingin memberi beberapa cadangan kepada industri hiburan Malaysia. 

Cadangan ini saya amat berharap agar ianya dapat di baca oleh penerbit-penerbit, pengarah, pelakon, penyanyi, dan semua jiwa-jiwa yang terlibat bagi menaikkan industri hiburan di Malaysia.

Moga-moga, dengan cadangan ini, dapat memberi 1001 manfaat buat kita semua insyallah.

***

1) KONSEP HIBURAN DALAM ISLAM

Sebelum apa-apa, saya nak nyatakan beberapa konsep asas BERHIBUR dalam ISLAM.
Secara umum, hukum berhibur dalam islam ialah HARUS. Namun, ada beberapa perkara yang membuatkan sesuatu hiburan itu menjadi WAJIB, SUNAT, HARUS, MAKRUH dan HARAM.
Secara mudah, hiburan bermaksud apa-apa perkara yang bila kita buat perkara tersebut, kita rasa tenang dan gembira.

HIBURAN YANG WAJIB DAN SUNAT ialah segala IBADAH yang Allah wajibkan dan sunatkan, seperti solat, baca quran, zikir, tahajud, dan sebagainya. Kenapa saya kena ibadah itu hiburan? Kerana, ibadah itu sepatutnya membuatkan hati kita bahagia, tenang, aman dan damai! Siapa yang tak terhibur dengan ibadah, ataupun merasa berat dengan ibadah, bermakna, kita perlu check semula iman kita.

Nabi pernah solat malam dengan sangat lama, membaca surah-surah panjang seperti Albaqarah, Ali Imran, Almaidah dalam 2 rakaat. Bahkan, nabi pernah solat sampai bengkak kaki. Kenapa nabi saw boleh beribadah sebegitu lama? Kerana nabi saw terhibur dengan ibadah. Nabi pernah menyuruh Bilal Azan lantas nabi berkata:

“Rehatkanlah aku wahai Bilal”

Nabi nak bagitahu bawah SOLAT itu adalah KEREHATAN bagi orang beriman.

Namun, malangnya, ramai di kalangan kita yang meninggalkan solat dengan sengaja, masjid kosong, ada yang tak cukup 5 waktu, bahkan ramai juga yang ponteng solat jumaat. Belum masuk tentang alQuran. Berapa ramai yang masih lagi tidak khatam alquran, tidak mebaca alquran setiap hari, bahkan masyarakat hari ini makin jauh dari Alquran.

Sedangkan, ibadah adalah hiburan buat orang yang beriman.

HIBURAN YANG HARUS pula adalah segala bentuk hiburan yang tiada unsur haram, atau tiada unsur yang melanggar syarak, maka hukumnya harus. Menyanyi ke, dengar lagu ke, main game ke, tengok movie dan drama ke, SELAGI MANA dalam hiburan tersebut TIADA UNSUR YANG MELANGGAR SYARAK dan TIADA UNSUR DOSA, maka, hiburan tersebut di haruskan.

HIBURAN YANG MAKRUH ialah segala hiburan yang harus, yang kita buat hingga LALAI. Walaupun hiburan itu harus, namun, andai kita berlebih-lebih sehingga tak baca uran setiap hari, tinggalkan solat, ataupun lalai dari ibadah dan malas menuntut ilmu, maka ianya menjadi MAKRUH.

HIBURAN YANG HARAM pula ialah hiburan yang ada unsur-unsur yang melanggar syarak di dalamnya. Andai ada unsur-unsur dosa, maka, berhibur dengan hiburan tersebut juga turut berdosa. Antara unsur-unsur yang melanggar syarak dalam sesebuah hiburan ialah:

Unsur Seks.
Unsur aurat di dedahkan.
Unsur pergaulan bebas atau yang mengajak kepada pergaulan bebas.
Unsur syirik kepada Allah.
Unsur mengAGUNGkan arak.
Unsur mencaci maki islam dan agama.
Dan lain-lain.

Andai dalam sesebuah hiburan samada movie, drama, lirik lagu, penyanyi, pelakon, novel dan sebagainya yang terdapat unsur-unsur berikut di dalamnya, maka hukumnya adalah berdosa, kerana perkara yang mereka lakukan itu adalah sesuatu perkara yang MELANGGAR SYARAK.

****

2) CADANGAN BUAT INDUSTRI HIBURAN MALAYSIA

Saya dengan rendah hati, mengajak mereka-mereka yang terlibat dalam industri hiburan samada pelakon, penyanyi, producer, composer, penulis skrip, pengarah dan sebagainya, agar sama-sama kita usaha untuk merealisasikan beberap cadangan saya. Moga-moga bermanfaat.

KETENGAHKAN BUDAYA ISLAM

Kami cadangkan, agar semua mereka yang terlibat dalam industri hiburan Malaysia, terutama public-public figure yang ramai follower, juga media-media prima dan sebagainya, agar cuba seday upaya tonjolkan NILAI dan BUDAYA islam yang sebenar di dalam setiap apa yang kita lakukan dan lakonkan, atau nyanyikan. Antara budaya-budaya yang amat perlu untuk di titi beratkan ialah:

a) MENUTUP AURAT.

Kami menyeru, pelakon islam, penyanyi islam, pengacara islam dan semua orang islam yang terlibat dalam industry hiburan Malaysia, agar sama-sama kita menutup AURAT dengan sempurna. Jika anda pelakon, tutuplah aurat. Jika anda penyanyi, tutuplah aurat. Jika anda pengacara, tutuplah aurat.
Bayangkan, andai ramai public-public figure dan pelakon yang mempunya jutaan followers dan fans, andai mereka semua menutup aurat dan MENGAJAK pengikut mereka untuk juga menutup aurat, saya yakin, ramai orang akan berpus-pusu menutup aurat, dan kalian dapat pahala yang sangat BESAR dan sangat BANYAK. Bayangkan, andai 1000 orang mula menutup aurat kerana terinspirasi dengan kalian, betapa banyaknya pahala yang Allah akan ganjarkan pada kalian!

Dan saya yakin 100%, popularity kalian takkan jatuh walaupun sedikit. Bahkan, insyallah, kalian akan makin di cintai, bukan sahaja oleh penduduk bumi, malah, Allah dan para malaikat juga mencintai anda.

Sudah ramai artis Malaysia yang mula menutup aurat. Heliza Helmi, Neolofa, Felixia Yeap, Emma Maembong, Siti Nurhaliza, dan sebagainya. Saya yakin, ia bukannya mudah. Namun, mereka dapat lakukannya, saya kira, ianya satu pengorbanan yang sangat besar.

Kepada producer film, pengarah film dan sebagainya, suruhlah pelakon menutup aurat walaupun “Hanya berlakon”. Kita tak boleh guna ayat “hanya berlakon” untuk melakukan perkara yang Allah larang. Insyallah, saya yakin, kalau jalan cerita kalian menarik, pelakon tutup auratpun orang akan tengok juga.

Saya menyeru semua agar tutuplah aurat, dan promosi dan ajaklah masyarakat islam di Malaysia agar menutup aurat dengan sempurna.

b) ELAKKANLAH MENGAJAK KEPADA PERGAULAN BEBAS.

Saya menyeru dengan rendah hati, agar tidak ketengahkan budaya pergaulan bebas, kerana ia bukanlah budaya islam. Budaya couple, budak berpegang-pegangan, peluk memeluk, bahkan aksi tanjang di dalam TV walaupun nampak seolah-olah tidak keterlaluan, INI SEMUA BUKANLAH BUDAYA ISLAM.

Jika kalian tahu statistic gejala sosial di Malaysia, nescaya kalian akan menggigil dan menangis.
Purata kes cerai di Malaysia setiap tahun ialah 40,000 kes. Bermakna, purata setiap hari, kes penceraian mencecah 110 kes. Bermakna, setiap satu jam, 5 kes cerai di daftarkan. Itu baru yang di daftarkan, belum termasuk yang tak di fartarkan.

Kes ANAK LUAR NIKAH di lahirkan, mencecah 27,000 setahun. Bermakna, setiap hari 75 kes di laporkan, dan setiap jam, 3 anak luar nikah di lahirkan.

Saya tak nak cerita kes rogol, kes zina, kes gay dan lesbian, dan sebagainya.
Macamana semua ini boleh terjadi?

Kerana, MEDIA UTAMA samda TV, Radio, lagu-lagu, drama-drama, movie-movie, novel-novel, banyak MEMPROMOSIKAN budaya pergaulan bebas samda secar sedar atau tidak sedar.
Dengan lambakan movie dan drama cinta, novel cinta, lagu cinta(yang mana kebanyakannya menyeru kepada pergaulan bebas dan couple), telah menjadi HIBURAN HARIAN anak muda, belia bahkan orang tua.

Dari idola kecil, Akademi Fantasia, Kilauan emas, semuanya hanyut dan tenggelam. Mengapa kita perlu meniru cara hiburan yang di tunjukkan oleh barat, dengan tarian, fashion yang bertentangan dengan syarak, pergaulan bebas, dan sebagainya.

Saya amat berharap, agar pelakon dan pengarah serta penyanyi, agar sama-sama kita mencegah perbuatan pergaulan bebas, dakwahlah melalui bakat-bakat yang ada. Yang pandai berlakon, berlakonlah tentang dakwah, begitu juga penyanyi. Berilah hiburan-hiburan yang mendidik jiwa.
Saya yakin, kalau cerita best, boleh meletup juga insyaAllah.

Sebagai contoh, Pierre Andre buat film “Ustaz Mu Tunggu Aku datang”, tanpa sebarang pergaulan bebas, dan sarat dengan mesej dakwah secara santai dan sangat menarik. Ia tetap mendapat sambutan dan ramai juga yang berubah.

c) BANYAKKAN HIBURAN YANG BERUNSUR PENDIDIKAN

Dari kita banyak mengetengahkan hiburan yang sarat dengan pergaulan bebas, cinta, pergaduhan sini sana, mencarut dan sebagainya, saya cadang, agar banyakkan hiburan yang berunsur pendidikan dan dakwah.

Kerana BUDAYA islam yang paling agung ialah dakwah dan saling nasihat menasihati.
Tetapi, kadang-kadang, ada sesetengah orang mahu mengajak kepada kebaikan dengan cara yang salah. Contoh, pengarah dan pelakon yang nak mengetengahkan bahawa zina itu dosa, maka mereka pun lakonkan aksi atas katil(walaupun tak keterlaluan). Benda ini sangat salah.

Matlamat tak menghalalkan cara. Andai kita mahu lakukan sesuatu kebaikan, pastikan matlamatnya bertepatan dengan islam, dan caranya juga kena bertepatan dengan islam. Seorang ulama berkata:

إذا اختلط الحق والباطل غلب الباطل
"Jika bercampurnya kebaikan dan keburukan, maka, yang akan menang ialah keburukan”.

d) WAR-WARKAN ISU UMAT ISLAM YANG TERTINDAS AGAR TERSEBAR KESEDARAN

Saya juga mencadangkan agar artis-artis dan media-media masa agar sebarkan secara meluas apa yang terjadi pada palestin, Syria, rohingya, dan sebagainya.

Jika anda berbabakat dalam menyanyi, buatlah lagu tentang kemanusiaan ini. Jika anda berbakat dalam mengarah film dan berlakon, maka buatlah satu movie dan drama yang mengetengahkan isu umat dan kemanusiaan ini.

Agar ramai-ramai masyarakat tak lalai dan leka dengan kelebihan dan kesenangan yang ada. Agar kita semua dapat bantu mereka-mereka yang tertindas.

Saya memuji banyak artis dan pelakon yang tak putus-putus memberi kesedaran tentang isu ini, samada para penasyid, atau artis terkenal seperti Faizal Tahir, Aizat, dan ramai lagi. Ia bukan hanya tugas penasyid sahaja, tetapi semua orang boleh menyumbang dalam segala bidang yang mereka mampu untuk memberi kesedaran pada masyarakat.

***

3)HARAPAN

Saya membuat artikel ini hanya satu tujuan. Agar pelakon, penyanyi, artis, dan individu yang terlibat dalam industry hiburan tanah air ini dapat menggunakan bakat dan kelebihan yang Allah bagi pada mereka untuk dakwah.

Saya mengaku, saya tak mampu nak berlakon, menyanyi, mengarah filem-filem, menjadi DJ radio, bahkan kalau saya nak buat semua itu pun, saya tak mempunyai dana yang cukup, kerana saya tahu ianya semua memakan kos yang sangat banyak, bahkan pembikinan film pun memakan jutaan ringgit.

Bayangkan, bila orang-orang famous ni berhijrah kepada kebaikan, alangkah ramanya pengikut mereka yang turut berhijrah ke arah kebaikan.

Hamzah Abdul Mutalib, ketika beliau masuk islam, ramai orang quraisy turut masuk islam. Kerana Hamzah sangat famous di kalangan quraisy dengan kepimpinannya.

Tika Umar masuk islam, Khalid Alwalid masuk islam, Amru Al Asr masuk islam, mereka semua ni kiranya orang-orang besar musyrikin sebelum ini, tapi bila mereka masuk islam, mereka menjadi orang-orang besar islam dan manfaat mereka untuk islam sehingga sekarang tak boleh nafi.
Muhammad Ali, seorang peninju islam, ketika beliau masuk islam, ribuan pengikut beliau turut masuk islam.

Saya yakin, andai pelakon dan penyanyi serta public figure yang di kenali ramai di Malaysia ini berhijrah menjadi lebih baik dari hari ke hari, dan mengajak kepada islam, betapa besarnya manfaat untuk umat hari ini. Andai setiap media samada TV, radio, penerbit buku, surat khabar dan lain-lain mengetengahkan dakwah dan budaya ISLAM YANG SEBENAR secara berterusan dan konsisten, saya yakin, lama kelamaan, BUDAYA ISLAM kembali menjadi BUDAYA orang islam di Malaysia ini.

Wallahua’lam.

Moga bermanfaat.


Friday, 5 August 2016

Kenapa perlu mencarut?



Mencarut hari ni seakan di anggap “biasa”. Bahkan, ramai orang yang guna perkataan yang berunsur carutan sebagai medium penulisan, percakapan dan sebagainya. Bukan tu je, ramai yang rasa mencarut tu lambang kehebatan, lambang ke”cool”an, lambang kemachoan dan sebagainya. Tapi hakikantnya, takdelah cool mana.

Serius, langsung tak cool.

Tapi, apakan daya?

Sekarang, budak sekolah rendah seawal darjah satu (ulang “darjah satu” ni 10 kali) dah pandai menggunakan bahasa kesat, bahasa kasar, mencarut, kata-kata lucah dan sebagainya. Dari sekolah rendah, sekolah menengah, universiti, hatta golongan bekerja dan pencen pun, masih ada yang menjadikan carutan tu sebagai medium percakapan.

Kadang-kadang, mencarut tu dah jadi macam “zikir” bagi sesetengah orang. Amat mudah lidahnya nak mengungkapkan kata-kata yang kesat akibat dah terlalu biasa. Sampai gurauan sesama kawanpun nak mencarut. Nak melawak konon. Atau kononnya dah biasa.

Apakah?

Apakah semua ini wahai kawanku?

Sedih tengok budak kecik-kecik dah pandai guna perkataan kesat. Apatah lagi yang besar.

“Mak kau babi!”

“Mak kau sial!”

“Pantat kau bangang!”

“Mak bapak kau bodoh macam kau!”

“Bapak kau tak bayar zakat!”

“Mak kau pelacur!”

“Bapak kau gila seks!”

“Kau ni perangai serupa babi la!”

“Lahanat kau cilaka!!”

“Apa ke bodohla si sengal cibai ni? Otak kau letak mana ha bahlul??”

“Perangai serupa iblis la kau ni! Muka dahla macam taik!”

"Nak kata babi, muka macam anjing..."

"Fuck you.."

"What the fuck!"

Dan sebagainya. Maaf. Sungguh, saya minta maaf sebab tulis contoh-contoh ayat tanpa lapik. Saya nak korang nampak. Ye, saya nak korang nampak bahawa ayat-ayat di atas hakikatnya memang REAL di sebut oleh orang ramai sesama mereka, hatta budak kecik…

Ya, budak kecik!!!

Uh… Wallahi. Saya rasa sangat pedih, sedih, sakit, dan pilu bila fikir benda ni.

Adakah korang rasa benda ni NORMAL?

Adakah korang rasa benda ni cool? Nampak gah? Nampak berani? Nampak hebat? Nampak mulia? Nampak macho?

Demi Allah. Langsung tak!

KALAU BETUL KAU ISLAM, KALAU BETUL KAU BERIMAN, JANGAN MENCARUT

Saya nak kita sama-sama muhasabah kembali diri kita yang hina dina dan penuh dosa ni. Adakah kita ni islam? Adakah kita ni beriman pada Allah? Adakah kita rasa kita ni cinta Allah, cinta nabi, ikut quran, ikut sunnah? Adakah kita ni betul nak masuk syurga, atau hanya berangan masuk syurga tapi amal menunjukkan sebaliknya?

Tanya diri, muhasabah diri, koreksi diri, tepuk dada, ketuk dada, pejam mata, pejam mata kuat-kuat, menjerit sekuat hati dalam hati:

“Adakah aku ini beriman padaMu ya Allah??!!!!!!!!!!!!!”

Kerana, jika betul aku beriman, kalau betul kau beriman, kalau betul kita beriman, kalau betul, maka, kenapa mencarut? Mengapa?

Mengapa? Mengapa? Mengapa perlu mencaci maki, mengutuk, menggunakan kata-kata kesat?!

Mengapa wahai kawanku?!

1) Nabi yang kau cintai pernah bersabda:

سِبَابُ الْمُسْلِم فُسُوقٌ
“Mencaci orang Islam itu termasuk fasik(berdosa besar)..”
(HR Bukhari)

2) Nabi yang kau kata kau rindu pernah mengungkap:

الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ
Seorang muslim itu bersaudara terhadap muslims lainnya, ia tidak boleh menganiaya dan menghinanya…”
(HR. Muslim)

3) Nabi yang kau sanjungi dan kau kasihi pernah memesani dirimu wahai kawan:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْراً أًوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…”
(HR Bukhari & Muslim)

Bermakna, kalau betul kita beriman pada ALLAH dan hari akhirat, kita takkan mencarut wahai temanku!

4) Sahabat pernah bertanya nabi saw:

“Wahai Rasulullah, jika ada seorang wanita yang melakukan shalat malam, siang harinya ia berpuasa, tetapi ia menyakiti tetangganya dengan lisannya?”

 Rasulullah SAW menjawab:

 “Tiada kebaikan sedikitpun dalam amal perbuatannya, dan ia kelak akan masuk neraka.”
(HR. Al Hakim, Ibnu Hibban dan Ahmad)

Nak kata, kalau kita solat tahajud tiap hari, doa sungguh-sungguh, nangis-nangis, jaga solat, sedekah dan sebagainya, tapi TAK JAGA LISAN, membodohkan orang, membangangkan orang, mencarut sini sana, maka segala amalnya takde manfaat, bahkan akan masuk neraka kalau tak taubat dan minta maaf!

Sungguh, ini satu benda yang amat serius, dan satu benda yang amat menakutkan!!

5) Kalau kau mengaku sayang nabi, nak jumpa nabi, nak peluk nabi di syurga kelak, cuba kau lihat dengan mata hati, apa yang nabi ingin sampaikan pada dirimu wahai kawan!

“Orang beriman bukanlah orang yang suka mencerca, bukan yang suka menjolok jolok, bukan yang suka berbuat keji, dan bukan juga orang yang suka bercakap keji.”
(HR Muslim)

Apa perasaan kau tika nabi yang kau cintai mengatakan bahawa andai kau mencarut, kau bukanlah orang yang beriman?

Tidakkah kau sedih, lantas kembali perbaiki lisanmu?

Maka, setelah kau baca semua kalam-kalam nabi yang kau mengaku kau cintainya, kau mengaku kau kasihinya, kau mengaku kau rindukannya, apakah perasaanmu?

Adakah dikau rasa Rasul yang kau kasihi itu akan mengasihimu andai dikau mengeluarkan kata-kata yang kesat, mencarut, mencaci maki orang, membodohkan orang, membangangkan orang, membabikan orang, dan mengeluarkan kata-kata lucah, menghina mak bapak orang?

Adakah nabi redha akan perkara ini?

Oh…….

7) Kau sayangkan ibu ayah kau? Kau cintakan ibu ayah kau? Jika benar, cuba dikau perhati apa yang nabi ungkapkan. Hayati, fahami wahai kawanku…

Nabi bersabda:

"Diantara dosa-dosa besar yaitu, seorang mencela kedua orang tuanya."

Ditanyakan pada beliau:

 "Mungkinkah seseorang itu mencela kedua orang tuanya sendiri?."

 Rasulullah SAW bersabda:

 " Ya, tatkala seseorang mencela ayah orang lain, berarti ia mencela ayahnya sendiri demikian jika ia mencela ibu orang lain, berarti ia mencela ibunya sendiri."

(HR Bukhari & Muslim)

Bermakna, kalau kau mengutuk mak ayah orang, sebenarnya kau telah mengutuk mak ayah kau sendiri wahai kawan. Bermakna, kau telah dapat dosa menderhaka pada mak ayah kau tanpa kau sedar.

Tidakkah hatimu merasa bersalah tika ini wahai temanku??!

Oh…

8) Mungkin, kau lupa akan Allah, tuhan yang kau sembah, tuhan yang telah bagi kau pelbagai nikmat, yang hidupkan kau, yang beri kau segalanya. Kau lupa, Allah yang kau sembah telah memberitahu:

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

“Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela”
(Al-Humazah: 1)

9) Allah yang kau kata kau cintai juga berfirman padamu:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ عَسَى أَنْ يَكُونُوا خَيْرًا مِنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِنْ نِسَاءٍ عَسَى أَنْ يَكُنَّ خَيْرًا مِنْهُنَّ وَلَا تَلْمِزُوا أَنْفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ وَمَنْ لَمْ يَتُبْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim…”
(Al-Hujurat: 11)

Wahai kawan, tak bergetarkan hatimu, Allah yang kau sembah, Allah, Allah! Allah menegur dan menempelak kita andai kita mencarut….

Ya rab..

Allah!

Allah!!!!

Allah!!!!!!

Ampunkan dosa kami yang banyak mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat ni ya Allah.

Ampunkan kami yang hina dina, bajet mulia, takbur , bangga diri, sombong  dan tak berguna ini ya Allah.

Ampunkan kami!!

KESIMPULAN

Saya menyeru pada semua. Kembalilah pada fitrah manusia yang inginkan kesucian.

Basahkan lidah dengan zikir. Itighfarlah pada Allah, ucaplah subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahu akbar, setiap hari. Selawatlah pada nabi tiap hari. Banyakkanlah baca quran. Bacalah, hayatilah. Baca dengan penuh perasaan, luangkan masa, kalau malas, paksa diri, paksa diri sepaksa-paksanya, walau kau penat bagaimanapun.

Basahkanlah lidah dengan kata-kata taubat, doa di malam hari.

Kembalilah pada Allah.

“Hati yang bersih dan suci, akan mengeluarkan kata-kata yang bersih dan suci. Hati yang kotor akan mengeluarkan kata-kata yang jijik dan kotor. Kerana, apa yang tersemat di dalam hati, itulah yang akan keluar di dalam lisan…..”

Wahai kawan….

Cuba tanya diri:

“Rasa-rasanya, apakah ucapan yang aku akan ungkapkan di saat akhir kematianku? Adakah aku mampu mengucapkan dua kalimah syahadah dan nama Allah dengan baik, atau akhir kalamku ialah carutan dan cacian?”

Ya Allah.

Ampunkan kami….




Thursday, 4 August 2016

Apa beza BALA dan UJIAN?

Takkan kita nak kena azab seperti umat-umat terdahulu baru kita nak
kembali pada Allah? Muhasabah.

Ada sekali, saya kenal seorang pakcik yang agak tua, umur sekitar 60-an.

Pakcik ni sakit, dan bukan takat sakit, tapi anak-anaknya langsung tak menjenguk dan tak menziarahinya.

Dan, ketika itu, kami ajak pakcik tu pergi surau untuk solat, tapi pakcik tu jawab

“Ah! Kau apa tahu? Buang masa nak solat solat semua ni! Allah ni menyusahkan aku je! Aku dah doa dia bukannya dengar pun. Lagi aku doa, lagi dia bagi aku kesusahan. Dahla aku sakit, anak-anak aku pulak biadap, langsung tak ziarah aku, menyusahkan aku, langsung tak kenang jasa aku!!!”

Terkejut mendengar jawapan pakcik tu.

Kadang-kadang, saya terfikir, manusia yang normal, lagi dia di timpa kesusahan dan masalah, dia akan lagi cari tuhan, akan lagi cari Allah. Tapi, hari ni, wujud juga orang yang bila di timpa musibah dan kesusahan, dia lagi jauh dari Allah, lagi benci Allah. Terkejut, dan kadang-kadang saya takut kalau ianya berlaku pada diri kita juga.

Wahai kawan….

Orang yang cinta Allah, akan sentiasa bersangka baik dengan Allah. Kadang, Allah bagi kita kesusahan dan kesulitan ada sebab, ada hikmah yang Allah nak berikan pada kita, ataupun, Allah nakkan sesuatu dari kita, atau, Allah nak berikan sesuatu yang amat berharga pada kita. Tapi, kita tak nampak. Apa yang kita tahu hanyalah bersangka buruk dengan Allah, memaki hamun dan menyalahkan Allah, kita sonbong dan makin jauh dengan Allah.

“Apalah dosa aku sampai aku di timpa musibah macam ni…”

“Kenapalah aku yang kena musibah? Kenapa bukan orang lain?!!”

“Kenapa, kenapa, kenapa??!!!!”

Kita hanya tahu mempersoalkan dan menyalahkan Allah. Tapi, kita ni langsung tak pernah muhasabah diri, merenung diri kita sendiri, melihat diri sendiri.

Kawan, cubalah ambil masa. Sekejap pun jadilah. Cubalah renung diri sendiri sekejap.

ALLAH SANGAT BAIK PADA KITA

Sebelum kita merungut dengan kesusahan dan musibah yang Allah timpakan pada kita, cuba kita renung, betapa baiknya Allah pada kita!

Allah baik sangat pada kita, kan?

Allah bagi kita mata, mulut, tangan, telinga. Allah baik sangat kan?

Walaupun kita banyak guna MATA untuk tengok benda yang Allah tak suka, kita tengok ajnabi, kita tengok benda haram, kita tengok dan cari keburukan orang lain, tapi Allah masih bagi kita mata, allah tak butakan kita.

Walaupun kita banyak guna MULUT untuk mencarut, mengumpat, mengadu domba, megutuk mencaci maki, dan fitnah, tapi Allah masih tak bisukan kita.

Walaupun kita banyak guna TANGAN untuk melukakan orang, menulis benda yang tak elok, search benda haram di internet, membuat lambang mencarut, mencuri dan sebagainya, tapi Allah masih tak kudungkan tangan kita.

Walaupun kita banyak guna TELINGA untuk dengar keburukan orang, dengar orang mengumpat, dengar lagu-lagu yang liriknya berbaur lucah, lirik yang mengajak kita buat dosa seperti lirik tentang couple, pergaulan bebas, seks dan sebagainya, tapi Allah masih tak pekakkan telingan kita.

Allah sangat baik pada kita, kan?

Kadang, kita lupa diri. Kita lupa nikmat yang Allah beri pada kita tidak tertandingi, kita lupa, kita lupa, kita lupa...

Tapi, apakah Allah lupakan kita?

Tidak.

Allah masih beri kita nikmat demi nikmat. Bahkan, Allah RINDU nak dengar suara tangisan dan rintihan kita. Sebab tu Allah timpakan kita kesusahan. Sebab Allah nak dengar suara kita.

Tapi, malangnya, bila kita di timpa kesusahan, kita tak cari Allah. Bahkan, kita salahkan Allah..

"Apa dosa aku ya Allah? Apa dosa aku??"

"Kenapa aku yang kena tanggung semua ni..Kenapa aku??"

Tapi, walaupun kita tak cari Allah tika susah, Allah tetap sayangkan kita, Allah tarik kesusahan tersebut, dan terus bagi kita nikmat, dengan harapan, kita akan kembali pada Allah.

Allah masih bagi kita tempat tinggal, harta, keluarga, kawan-kawan, oksigen, lengkap pancaindera, dan lain-lain. Ye, agar kita kembali pada Allah.

Allah baik sangat pada kita, kan?

Allah sayang kita. Allah tahu kita ni manusia, mudah lupa, mudah terjebak dengan dosa. Sebab tu Allah tawarkan pelbagai ganjaran yang besar-besar agar kita buru ganjaran dan pahala. Tapi, kita masih tak nampak, kita memandang remeh kebaikan, dan memandang remeh orang yang menyeru kepada kebaikan. Tapi, Allah masih sayang kita. Allah tawarkan PENGAMPUNAN yang amat luas pada kita! Kita boleh minta ampun bila-bila, di mana sahaja, Allah sentiasa dekat, Allah sentiasa faham, Allah sentiasa terbuka untuk mengampunkan segala dosa noda kita, kecil atau besar, banyak atau sikit, sengaja atau tak sengaja, semuanya Allah ampunkan. Tapi, berapa ramai yang ingin bertaubat?

Allah baik sangat pada kita, kan?

Takkanlah kerana sedikit kesusahan yang Allah bagi, terus kita lupakan segala yang Allah bagi pada kita?

MUSIBAH ITU TANDA CINTA

Korang dah renung dan fikir bukan?

Betapa banyak gila bapak nikmat yang Allah bagi pada kita dari kita bangun tidur sampai kita tidur balik, Allah bagi kita peluang demi peluang demi peluang, tapi, kita seakan-akan langsung tak menghargai nikmat yang Allah bagi.

Kita guna untuk maksiat, kita lupa Allah. Kita abai banyak suruhanNya.

Sedangkan, tujuan Allah bagi kita segala nikmat tu semua supaya kita gunakan semua tu untuk kembali pada Allah.

So, bila nikmat tak membuatkan kita kembali pada Allah, maka Allah bagi kita kesusahan!!

Kenapa Allah bagi kita kesusahan? Sebab, Allah dah terlalu rindukan kita!

Ya, Allah dah terlalu rindukan kita wahai kawan!!

Sebab, selama Allah bagi kita nikmat, kita terlalu jauh dariNya. Sebab tu Allah bagi kita kesusahan agar kita kembali padaNya. Allah nak kita kembali, Allah nak kita kembali, Allah nak kita kembali!!!!

Sebab tulah Allah bagi kita musibah wahai kawan.

Cuba korang renung hadith-hadith kat bawah. Cuba korang renung dalam-dalam, ya, sedalam-dalamnya, fikir, fikir, fikir….

1) Allah berfirman dalam hadith qudsi:

إن الله عز و جل يقول للملائكة : انطلقوا إلى عبدي فصبوا عليه البلاء صبا فيحمد الله فيرجعون فيقولون صببنا عليه البلاء صبا كما أمرتنا فيقول ارجعوا فإني أحب أن أسمع صوته

“Allah berfirman kepada Malaikat-Nya, “Pergilah kamu kepada hamba-Ku, lalu kamu timpakan bermacam-macam ujian kepadanya kerana Aku suka mendengar rintihannya….”
(HR Baihaqi & Tabrani)

Lihatlah wahai kawan!

Allah bagi kita musibah dan kesusahan adalah kerana Allah “rindu” nak dengar rintihan, rayuan dan tangisan kita!

Mungkin kerana kita dah terlalu lama lalai, terlalu lama tak menangis, terlalu lama jauh, terlalu lama bermaksiat dan leka dengan nikmat, maka Allah bagi kita kesusahan supaya kita kembali sedar yang kita ni kerdil, tak berdaya, penuh dosa, kita ni hamba, dan agar kita kembali tunduk patuh bersujud pada Allah!

Allah timpakan musibah bukan kerana Allah benci dan lupakan kita. Tidak, tidak! Tetapi, kerana Allah amat cinta dan sayangkan kita….

Tapi, apakah yang kita balas? Bagaimanakah kita membalas cinta Allah ini?

2) Hayati dan fahami juga hadith nabi ini:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَة

“Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang yang beriman berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya!!”
(HR Muslim)

Lihatlah! Lihatlah dengan mata hati! Lihatlah dengan jiwa yang tenang!!

Allah bagi kita ujian dan musibah adalah kerana Allah nak ampunkan kita wahai kawan!

Kita banyak dosa, banyak sangat buat dosa, dan lebih parah dari tu, kita lupa nak bertaubat, tapi, Allah nak jugak ampunkan kita, dengan cara bagaimana? Dengan cara, Allah timpakan musibah buat kita, yang mana, kalau kita REDHA dan sabar, Allah akan ampunkan semua dosa kita!!

Betapa baiknya Allah pada kita! Betapa cintanya Allah pada kita semua!!

Tapi, apakah yang kita balas setiap kali kita di timpa kesusahan dan kesakitan?

Adakah kata-kata nista dan cercaan, atau redha serta kembalikan segala pujian padaNya serta meminta ampun dari Allah?

ANTARA UJIAN DAN BALA

Kadang, kita tak tahu nak beza, adakah musibah yang berlaku pada seseorang atau sesuatu tempat itu merupakan satu ujian ataupun bala?

Apakah yang berlaku pada rasul dan sahabat yang di seksa di cerca dan di bunuh itu ujian ataupun bala?

“Adakah taufan dan rebut yang sering berlaku di Amerika itu ujian ataupun bala?
Adakah kematian rakyat palestin, syiria, rohingya dan lain itu ujian atau bala?
Adakah kes kematian ratusan orang di mekah dan di mina tika musim haji itu ujian atau bala?
Adakah apa yang berlaku kepada kaum nabi Nuh yang di tenggelamkan air itu ujian ataupun bala?”

Kadang-kadang, kita tak dapat bezakan mana satu ujian dan mana satu bala. Akibatnya apa? Akhirnya, apa yang berlaku pada kita kita anggap ujian, apa yang berlaku pada kelompok yang kita tak suka, kita anggap itu bala.

Contohnya, banjir yang berlaku kat Kelantan, ada suara-suara yang mengatakan bahawa itu bala. Ada juga yang mengatakan bahawa itu adalah ujian. Ada jugak orang yang melekeh-lekehkan azab Allah.

"Aku buat maksiat, rileks je bahagia. Kau tu, solat bagai, aku tengok hidup kau susah je. Haha..."

Boleh-boleh dia seolah melekehkan perintah Allah. 

Semua ni terjadi sebab mereka tak faham, bila sesuatu musibah itu datang, ianya adalah BALA ataupun UJIAN.

Bagi saya, UJIAN dan BALA itu bukan di ukur dengan neraca macam tu.

Bagi saya, kalau sesuatu musibah tu membuatkan kita lebih dekat dengan Allah, maka itu adalah ujian. Tapi, andai satu musibah tu membuatkan kita makin jauh dari Allah, maka, itulah bala!


 Saya ulang:

“Kalau sesuatu musibah tu membuatkan kita lebih dekat dengan Allah, maka itu adalah ujian. Tapi, andai satu musibah tu membuatkan kita makin jauh dari Allah, maka, itulah bala!!!”

Yep.

Sebab tu wahai kawan, setiap kali kita di timpa kesusahan, pergaduhan, keretakan rumah tangga, di fitnah, krisis kewangan, kematian orang yang tersayang, kehilangan harta benda, kesakitan, kemalangan dan sebagainya, cepat-cepatlah kembali pada Allah. Janganah di sebabkan benda tu membuatkan kita bertambah jauh dengan Allah.

Kita nak Allah buat apa pada kita baru kita nak kembali bertaubat?

Bila Allah bagi kita kesenangan, kita tak nak taubat,, Kita lalai dan leka, hanyut menggunakan nikmat untuk maksiat.
Bila Allah bagi kita kesusahan, kita marah Allah, kita benci Allah, kita salahkan Allah.

“Kita nak Allah buat apa pada kita baru kita nak kembali pada Allah wahai kawanku?????!!!!”

Fikir dan renunglah wahai kawan!! Adakah Allah yang benci kita atau kita yang benci Allah? Cukuplah kita menjauh. Kembalilah pada Dia. Allah amat menanti kepulangan kita…

Ingatlah wahai kawan, musibah dan bala yang terbesar adalah maksiat. Setiap kali kita bermaksiat, itulah bala dan azab, walaupun tika itu kita berada dalam kesenangan. Sungguh!

Cuba korang hayati kata-kata Ibn Athoillah ini. Hayati sungguh-sungguh, bava berkali-kali!

“Musibah yang sebenar bukanlah orang yang mati anaknya atau kehilangan harta, keluarga atau kekasih. Tetapi, musibah yang sebenar adalah orang yang di hentam dengan dosa, di serang oleh syahwat, dan di hempap oleh pelbagai kesalahan! Inilah musibah yang sebenar!

Mereka menghabiskan waktu mudanya untuk meraih segala kenikmatan, mereka menghabiskan umur mereka untuk melakukan segala maksiat dan perkara terlarang!!

Jangan kau menganggap orang yang berduka dan mendapat musibah adalah mereka yang terkena penyakit, di landa kemiskinan, atau sedang di penjara. Boleh jadi, semua itu membuatkan mereka lebih dekat dengan Allah dan memperoleh redhaNya. Adakalanya kesembuhan itu datang setelah meminum ubat yang pahit.

Tetapi, hakikatnya, yang sebenarnya di timpa musibah adalah mereka yang bermaksiat pada Allah dan tidak bertaubat dari dosa!! Mereka memasukkan kotoran maksiat ke dalam hati mereka yang bersih! Mereka penuhkan neraka dosa dalam kalbu mereka sehingga mereka mati…

Apabila engaku di tanya tentang ‘Apakah yang patut di ratapi?’ , maka, kau jawablah, ‘yang sepatutnya di ratapi adalah seorang hamba yang Allah kurniakan kesihatan dan kekayaan, namun dia menghabiskan kedua-duanya untuk bermaksiat pada Allah….”

(Ibn Athoillah, kitab Bahjah Annufus)



Apa maknanya?

Hakikatnya., bila kita buat maksiat, dan kita tak di timpa azab dan kesusahan, dan di sebabkan itu kita rasa bebas dan tak takut Allah sebab Allah tak berikan "azab" direct, ketahuilah sebenarnya kita telah tertipu dengan diri sendiri. Kita tak tahu, hakikatnya, berterusan dalam dosa itu adalah satu azab yang lebih perit dari di timpa bala bencana!

Saya ulang:

"sebenarnya kita telah tertipu dengan diri sendiri. Kita tak tahu, hakikatnya, berterusan dalam dosa itu adalah satu azab yang lebih perit dari di timpa bala bencana!"

Kerana itu, muhasabahlah dirimu wahai kawan. Jadilah orang yang beriman, dengan sebenar-benar iman. Kerana sesungguhnya, menjadi orang beriman itu sangat bahagia dan sangat indah!



عَجِبْتُ مِنْ أَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَ الْمُؤْمِنِ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ كَانَ ذَلِكَ لَهُ خَيْرًا وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ فَصَبَرَ كَانَ ذَلِكَ لَهُ خَيْرًا

”Sungguh menakjubkan perkaranya orang yang beriman, karena segala urusannya adalah baik baginya. Dan hal yang demikian itu tidak akan terdapat kecuali hanya pada orang mukmin; yaitu jika ia mendapatkan kebahagiaan, ia BERSYUKUR, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan yang terbaik untuknya. Dan jika ia tertimpa musibah, ia BERSABAR, karena (ia mengetahui) bahwa hal tersebut merupakan hal terbaik bagi dirinya.”
(HR Ahmad)

Bila di uji, kembalilah pada Allah.

Wallahua’lam.